Search This Blog

Saturday, January 29, 2011

Jenis Mengumpat Yang Di Bolehkan

Sebagaimana kita sama maklum bahawa hukum mengumpat adalah haram. Mengumpat ialah menceritakan tentang aib atau keburukan seseorang yang apabila orang tersebut mendengarnya maka ia akan marah dan benci.

Dalam hal ini Imam An Nawawy dalam kitabnya Riyadhus Salihin berkata: Ketahuilah bahawa mengumpat adalah dibolehkan atas sebab-sebab tertentu dan mengikuti lunas-lunas syara’ (agama), jika sesuatu yang penting tidak mungkin tercapai kecuali dengannya. Mengumpat yang diperbolehkan-oleh agama itu ada enam jenis:

(1) KES PENGANIAYAAN.

Dibolehkan kepada orang yang dianiaya untuk mengadu kepada pihak berkuasa seperti Sultan, Qadhi atau lain-lain pihak yang mempunyai kuasa untuk memberi keinsafan dan kesedaran kepada orang yang menganiaya itu. Umpamanya: Si Polan itu telah menganiaya saya begini dan begitu.

(2) MOHON BANTUAN MENCEGAH KEMUNGKARAN.
Umpamanya seseorang berkata kepada pihak polis atau bahagian pencegah maksiat: Si Polan itu telah berbuat perkara sumbang, tolong tuan cegah perkara tersebut. Maksud orang itu ialah menjadikan pihak berkuasa sebagai orang tengah untuk mencegah kemungkaran. Tetapi jika tidak dengan maksud itu maka hukumnya adalah haram.

(3) MINTA FATWA.

Umpamanya ia berkata kepada mufti atau orang yang dipercayai boleh memberi fatwa: Ayah saya atau saudara saya atau suami saya telah menganiaya saya, adakah dia boleh berbuat demikian terhadap saya, bagaimana cara supaya saya dapat terhindar dari penganiayaannya. Perkara ini dibolehkan kerana hajat. Tetapi adalah lebih baik sekiranya dengan cara sindiran sudah tercapai tujuannya. Namun demikian menyebut nama orang yang menzalimi adalah dibolehkan sebagaimana dalam kisah Hindon diatas.

(4) MENGAJAK MUSLIMIN AGAR BERSIKAP BERHATI-HATI.

Umpamanya: Kita menyebut tentang keaiban periwayat hadis seperti si polan pendusta, tidak amanah, kurang kuat ingatannya dan lain-lain. Perkara ini dibolehkan kerana tujuan kita berbuat demikian semata mata ingin menjaga keaslian hadis Rasulullah saw. Sebab tanpa berbuat demikian maka akan terdedahlah hadis Rasul saw dengan pemalsuan. Atau paling kurang supaya orang ramai jangan sampai menyangka hadis hadis tersebut sebagai hadis yang sahih. Apalagi jika orang berkenaan sememangnya orang yang suka memalsukan hadis. Dan menyatakan keaiban orang lain ini juga boleh jika kita diminta pandangan tentang peribadi seseorang yang akan menjadi rakan kongsi perniagaan , atau menitipkan amanah , atau urusan perkahwinan , demikian juga tentang berjiran dan sebagai.

(5) JIKA MELAKUKAN MAKSIAT DAN BID’AH SECARA TERANG.

Umpamanya: Minum arak secara terang terangan atau seorang guru agama yang mengajar ajaran-ajaran sesat seperti syirik dan bid’ah atau bomoh dan dukun yang menggunakan amalan amalan syirik. Kita diperbolehkan menyebut keburukan atau keaiban orang orang berkenaan supaya muslimin yang lain dapat sentiasa waspada dan tidak terpedaya oleh mereka. Tetapi dalam hal ini kita tidak boleh menceritakan cela mereka yang lain kecuali ada sebab-sebab lain yang membolehkannya sebagaimana tersebut diatas.

(6) SEBAGAI TANDA PENGENALAN.

Andaikata seseorang dikenal dengan gelaran tertentu. Umpamanya: Mamat Pincang, Jali Sumbing, Enon Gendut dan lain-lain maka dibolehkan kita menyebut sifat-sifat tersebut tetapi dengan syarat tidak dengan nada atau tujuan menghina dan merendah rendahkan. Andaikata orang tersebut sudah dapat dikenal tanpa menggunakan gelaran-gelaran diatas maka itu adalah lebih baik.

No comments:

Post a Comment