Search This Blog

Sunday, January 30, 2011

Belajar Bukan Berkahwin

Renungkanlah...

Pertama, saya ingin menyingkap sebuah kisah untuk renungan bersama. Sepasang remaja berumur 15 tahun memohon kepada Mahkamah Syariah untuk berkahwin. Hakim Syari’e semasa mendengar kes tersebut bertanya beberapa soalan untuk memastikan pasangan tersebut sudah bersedia untuk berkahwin. Hakim Syari’e bertanya sekiranya diberi kebenaran untuk berkahwin diberi, kemanakah pasangan itu akan tinggal? Ali, pasangan lelaki tersebut menjawab bahawa mereka telah memikirkan perkara tersebut dan telah membuat keputusan untuk tinggal di rumah Laila, pasangannya kerana bilik tidur Laila lebih besar dari bilik tidur Ali. Hakim Syari’e tersenyum dan kagum bahawa perkara tersebut telah dibincangkan terlebih dahulu. 

Beliau kemudiannya bertanya satu lagi soalan. “Sekiranya dibenarkan berkahwin, bagaimana kamu akan menanggung Laila kerana kamu masih bersekolah?”. Ali menjawab, “Yang Arif, kami mempunyai tabungan dan sekiranya tabungan tersebut disatukan dan kami berbelanja hanya RM10 sehari dan membawa bekal ke sekolah, kami akan dapatmenampung penghidupan kami setelah berkahwin sehingga selesai peperiksaan PMR.

” Sekali lagi hakim tersebut tersenyum dan merasa kagum dengan kesungguhan cinta kedua remaja tersebut. Hakim itu terus bertanya, “Oleh kerana kedua-dua kamu akan mengambil peperiksaan PMR pada hujung tahun ini, bagaimana kamu hendak pastikan yang Laila tidak hamil ketika tempoh tersebut?” Kali ini Ali pula yang tersenyum dan menyatakan, “Yang Arif jangan khuatir, kami telahpun melakukannya dan nasib kami baik kerana Laila tidak hamil langsung! Hakim menarik muka masam dan dan tentu sahaja tidak kagum dengan jawapan tersebut.

Keduanya, saya ingin melihat isu ini dari perspektif undang-undang. Ini kerana ketika undang-undang dirangka dan digubal, ia berupa peraturan yang lebih berbentuk umum kerana terpakai kepada masyarakat umum. Di dalam pemikiran penggubal, biasanya berfikir bahawa undang-undang tersebut akan terpakai kepada orang dewasa yang berumur lebih 21 tahun. Ketika menafsirkan undang-undang itu pula, hakim biasanya mentafsir dalam konteks fakta kes yang ada di hadapannya yang tentu sahaja berbeza dari satu kes ke satu kes yang lain. 

Oleh kerana itulah, dalam dunia undang-undang, menggubal dan mentafsir undang-undang adalah dua perkara yang sangat berbeza walaupun saling berkaitan. Seperti langit dengan bumi. Seperti malam dengan siang. Oleh kerana perbezaan itulah isu ini sebenarnya menjadi jauh lebih rumit daripada apa yang disangkakan.

Dalam konteks penggubalan undang -undang, penggubal mengakui bahawa dunia ini sebenarnya penuh dengan orang yang bertindak di luar kebiasaan. Dan inilah sebenarnya yang menguji kekuatan dan keutuhan sesuatu undang-undang itu.

Undang-undang yang berkaitan adalah seksyen 8, Akta Undang-undang Keluarga Islam, Wilayah-Wilayah Persekutuan, 1984 dan enakmen-enakmen seumpamanya di peringkat negeri yang memperuntukkan umur minimum untuk berkahwin. Akta ini menyatakan bahawa tiada perkahwinan boleh diakadnikahkan atau didaftarkan jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika Hakim Syariah telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu. Dalam hal ini, hakim diberi kuasa menggunakan budibicaranya untuk meneliti fakta kes dan melihat sama ada kebenaran boleh diberikan.

Dalam konteks ini, kes Siti Mariam Mahmod, 14 yang berkahwin dengan Abdul Manan Othman, 23 tahun pada Julai, 2010 sebenarnya bukan kes pertama melibatkan perkahwinan di bawah umur dan mungkin juga bukan kes yang terakhir sejak Akta ini wujud dan telah dilaksanakan sejak tahun 1987 lagi. Bagaimanapun, pada pandangan peribadi saya, kes ini adalah penting untuk diulas kerana ia mewakili kes-kes perkahwinan bawah umur yang dilaporkan banyak berlaku di Malaysia. Persoalan penting yang timbul bagi saya adalah adakah selepas kes ini akan ada pindaan terhadap undang-undang berkaitan? Atau adakah hakim syarie akan membuat tafsiran yang berlainan kerana akan ada polisi yang baru? Atau apa atau tidak ada apa-apa?

Timbul persoalan tentang kenapa ibu bapa Siti Mariam menggalak perkahwinan tersebut? Kenapa pihak-pihak tersebut tidak diperintah untuk melalui proses kaunseling sebelum mereka dibenarkan berkahwin seperti dalam kes-kes sebelum ini?

Bukan sahaja aktivis-aktivis wanita dalam negara yang menunjukkan keprihatinan mereka tetapi juga media-media barat. Kenapa? Tidakkah negara-negara lain juga mempunyai perkahwinan di bawah umur malah dalam jumlah yang tinggi? Kenapa Malaysia? Antara jawapan yang saya temui adalah kerana Malaysia adalah model negara Islam, maka ia tidak sepatutnya menggalakkan perkahwinan di bawah umur. Kerana Malaysia negara maju, perkahwinan di bawah umur dilihat sebagai satu amalan yang ketinggalan zaman. Kerana Malaysia negara maju, ia seharusnya menghormati komitmennya terhadap instrumen-instrumen antarabangsa yang telah diratifikasi olehnya.

Sensitif

Persoalan-persoalan yang dibangkitkan walaupun logik tetapi bagi sesetengah pihak adalah sangat sensitif. Pada pandangan peribadi saya, jawapan-jawapan terhadap soalan-soalan tersebut sebenarnya tidaklah mudah. Ia menyentuh banyak perkara - sosial, agama dan politik serta undang-undang.

Dari perspektif undang-undang, keputusan hakim syarie dalam hal ini dipertikaikan kerana dikatakan bertentangan dengan keputusan yang dibuat oleh Al-Azhar Al-Sharif, badan agama tertinggi di dunia ahli sunni. Panduan tentang hak kanak-kanak menyatakan secara khusus bahawa untuk perkahwinan Islam, seseorang itu harus mencapai umur baligh dan kematangan sehingga mereka boleh berkahwin. Pandangan ini juga boleh dipertikaikan kerana panduan ini tidak mengikat hakim syarie di Malaysia dan sifatnya hanyalah sebagai panduan sahaja.

Setelah diteliti kontroversi ini dari pelbagai sudut, sebenarnya ia bukan berdasar kepada perdebatan tentang umur baligh atau hak asasi, tetapi adalah berdasarkan sama ada Siti Mariam telah mencapai usia kematangan untuk berkahwin. Ini adalah satu faktor tambahan selain umur baligh. Di sinilah letaknya perbezaan pendapat-pendapat sedia ada.

Saya ingin merujuk kepada satu instrumen antarabangsa yang sangat relevan dalam perbincangan tentang umur perkahwinan ini di mana Malaysia menjadi salah satu negara yang menjadi signatorinya, iaitu Konvensyen Hak Kanak-Kanak. Konvensyen ini mendefinisikan kanak-kanak sebagai orang yang berusia kurang daripada 18 tahun. Faktor usia dikaitkan dengan pertanggungjawaban dari segi undang-undang. Dalam konteks konvensyen ini, Siti Mariam masih dikira sebagai kanak-kanak. Oleh itu keputusan dan persetujuannya tidak terpakai dari segi undang-undang.

Dibandingkan dengan undang-undang Syariah, seorang kanak-kanak tidak mempunyai kapasiti undang-undang kecuali apabila ia telah mencapai usia baligh. Hal ini didasarkan kepada keupayaan ‘akal yang tidak semestinya 18 tahun. Kanak-kanak mula memperolehi kapasiti pertanggungjawapan ketika dia mencapai usia baligh yang berbeza mengikut pandangan pelbagai mazhab tetapi "kematangan fikiran" (rusyd) dalam konteks transaksi tertentu membolehkan kanak-kanak itu mempunyai kapasiti pertanggungjawaban yang berbeza.

Berbeza dengan prinsip-prinsip am yang digunakan oleh undang-undang Sivil yang terpakai dalam semua instrumen antarabangsa, undang-undang Islam mempunyai tahap-tahap kapasiti pertanggungjawaban undang-undang yang tertentu mengikut kematangan.

Dalam perbincangan berapakah umur baligh, Profesor Tahir Mahmood menyatakan bahawa usia terendah baligh untuk anak perempuan iaitu sembilan tahun adalah berdasarkan amalan dan budaya masyarakat Arab pada kurun ke tujuh Masehi. Budaya ini sebenarnya bukan dimulakan oleh Islam. Bagaimanapun, budaya ini telah diterima Imam Abu Hanifah 100 tahun kemudian. Namun, pengikut Abu Hanifah, iaitu Ibnu Shubruma dan Abu Bakar al-Asam dalam tafsiran mereka yang berlandaskan al Quran menolak perkahwinan di bawah umur ini. Terdapat beberapa pendapat ulama juga yang menyatakan bahawa Aisyah pada waktu perkahwinan tersebut sebenarnya berumur 18 tahun dan bukannya enam atau sembilan tahun.

Islam

Bagaimanapun, kedua-dua pandangan yang bertentangan ini telah diterimapakai di serata dunia Islam. Pada abad ke-20 pandangan kedua ini telah mendapat tempat di mana selaras dengan usaha mengkanunkan undang-undang Islam dilaksanakan oleh banyak negara Islam, umur minimum perkahwinan telah ditetapkan. Undang-undang pertama untuk ini telah terpakai di Mesir sejak 1923 lagi. Banyak negara Islam kemudiannya mengikuti jejak langkah tersebut.

Namun, apa yang di kertas dan apa yang berlaku secara realiti adalah dua perkara yang berbeza. Walaupun terdapat undang-undang yang menentukan had umur perkahwinan, amalan itu tidak sepenuhnya ditinggalkan. Ini kerana ia telah menjadi budaya masyarakat tersebut. Untuk menukar sesuatu budaya itu adalah sukar. Kita maklum bahawa berkahwin di bawah umur bukanlah budaya di Malaysia. Kita patut menggalakkan anak kita di usia tersebut belajar dan bukannya untuk berkahwin.

sumber : rencana

No comments:

Post a Comment