Search This Blog

Showing posts with label Keluarga. Show all posts
Showing posts with label Keluarga. Show all posts

Saturday, February 12, 2011

Banyak Dosa Bila Bermadu



LUAHAN hari Mimizarina dalam DCCK minggu lalu mendapat perhatian ramai pembaca khaususnya wanita. Banyak e-mel diterima, namun tak seorang pun sependapat dengan beliau. Jadi untuk menjawab soalan ‘‘Rugikah kalau dimadu’’ dipaparkan beberapa pandangan pembaca dari seluruh negara.

Imma dalam e-melnya bertanya kepada Mimi salah satu syarat suami berpoligami mestilah mampu zahir batin. Tapi Mimi cuma memerlukan nafkah batin dan kasih sayang sahaja, jelas suaminya tidak mampu dari segi ekonomi kerana dia ada isteri pertama tak berkerja, ada tiga orang anak. Secara tidak langsung Mimi galakkan suaminya tidak bertanggungjawab, jadi apa maknanya konsep poligami sebenarnya?

‘‘Seperkara lagi kerana Mimi terlalu bersimpati dengan kawan-kawannya yang berjawatan tinggi tetapi tak bersuami, maka saya cadangkan dia meminang tiga kawannya untuk suaminya. Salah seorang mestilah tidak bekerja, kemudian Mimi boleh menjawab soalannya; ‘‘Rugikah kalau dimadu’’ kata Imma lagi.

Julia pula meminta supaya Mimi jangan bongkak, sebab takut satu hari nanti dia juga akan dimadukan oleh suaminya. Sebab lelaki apabila mudah dapat dua dia mahu tiga. Tambah-tambah ada isteri yang meringankan bebannya.

Julia juga menasihatkan Mimi supaya betul-betul memahami apa yang tersurat dalam al-Quran yang berbunyi, ‘‘Kahwinilah kamu dua, tiga atau empat orang wanita, tetapi jika kamu takut tidak berlaku adil, maka kahwinlah hanya seorang....’’ Jangan buat petikan ayat al-Quraan ikut selera sendiri sahaja. Jangan mempersenda al-Quraan.

‘‘Saya juga nak tanya Mimi, sudikah anda menerima madu jika wanita itu janda beranak empat dan lebih tua, andaikata suaminya jatuh cinta pada wanita itu? Mimi cakap memang mudah, tetapi adakah anda benar-benar sanggup mempraktikkannya?

Nor pula berkata, isteri yang minta diceraikan daripada bermadu sebenarnya mahu mengelak daripada membuat lebih banyak dosa dengan suami. Sebab hanya dia sahaja yang tahu perangai suaminya. Dia tahu kelemahan dan tahap kemampuan suaminya dari segi kewangan dan batinnya, kerana itu daripada berdendam dan menyimpan perasaan marah sepanjang hayat terhadap suami lebih baik berpisah.

‘‘Maklum sahajalah kalau duit berkurangan suami mula sekat makan minum anak-anak isteri pertama, jika ini berlaku isteri tentu mengamuk, dan berlaku bertengkaran, pergaduhan antara suami isteri. Bukankah itu secara tidak langsung isteri akan tambah dosa. Sebab itu isteri lebih rela bercerai daripada kumpul dosa bila bermadu,’’ katanya lagi.

Anita pula berkata, dia banyak kali menyuruh suaminya kahwin lagi, sebab dia benci dengan perangai suaminya suka menggoda perempuan. Bila bercinta duit tak pernah cukup sebab kena beli top up telefon sendiri dan kekasih. Duit minyak bertambah kerana selalu keluar, belanja makan dan beli hadiah untuk kekasih. Bila dah banyak berbelanja untuk kekasih pasti menjejaskan bajet rumahtangga. Sampai bila saya mesti pikul hutang yang dia buat?

Menumpang

‘‘Kepada wanita yang ingin menumpang kasih suami orang, jangan tanya kenapa isteri tak rela bermadu, tengok dulu kemampuan kekasih anda, jangan percaya cakapnya bulat-bulat. Lagi banyak pendapatannya lebih banyak dia berhutang. Hanya isteri yang tahu. Orang lain cuma lihat pakaian cantik di luar saja, tetapi isteri tahu kurap kayap di kulit badannya di dalam.’’ Demikian cerita Anita.

Liyana pula kesal dengan pandangan Mimi wanita yang tidak rela bermadu sebagai ‘lemah pegangan agama dan kurang kesedaran’.
‘‘Tidakkah anda rasa bersalah membina istana di atas keruntuhan mahligai 
orang lain?’’

‘‘Saya dapat merasakan perasaan bekas isteri suami anda, kerana saya senasib dengannya. Suami saya merancang hendak kahwin lagi selepas kami menyambut ulang tahun kelima perkahwinan baru-baru ini. Kini setiap hari sebelum tidur saya terfikir bilakah agaknya saya akan diceraikan.’’ Kata Liyana.

Honey dalam e-melnya berkata dia tertarik bila Mimi bertanya ‘‘Kenapa ramai isteri jadi kedekut dan beranggapan suami hak mutlak mereka seorang sahaja? Tidak boleh dikongsi oleh wanita lain..? kerana beliau sekarang masih dalam edah setelah diceraikan oleh suaminya kerana bercinta dengan orang ketiga.

‘‘Saya tak larang kalau suami saya nak kahwin lagi, tetapi tolong jangan lari daripada tanggung jawab. Berbulan-bulan kami ditinggalkan tanpa nafkah, bila telefon tidak dijawab, anak sakit terlantar tidak dipedulikan, ansuran bulanan rumah tak dibayar, jadi patutkah saya bersabar lagi? Dan bukankah itu tandanya dia tak sayangkan kami lagi?

‘‘Kerana tidak tertahan berkali-kali dihalau keluar rumah dan dipukul, akhirnya saya terpaksa buat laporan polis demi mempertahankan diri dan hak saya ke atas rumah yang kami beli. Jadi kesimpulannya sebelum nikah lagi suami saya sudah abaikan tanggungjawab pada anak-anak, jadi bolehkah suami saya adil kalau berpoligami nanti?

‘‘Kerana itulah ramai wanita takut bermadu, bukan kerana tamak atau kedekut, tetapi kerana dia tahu perangai suaminya sebenar. Suami boleh buat muka sepuluh sen tunjuk baik dan minta simpati kekasihnya, tetapi dengan isteri dia jadi harimau ganas dan lapar menunggu masa untuk menerkam mangsanya.

‘‘Akhir kata, saya ingin berpesan pada Mimi jangan riak dan takbur. Saya pasti kiranya apa juga benda kesayangan Mimi dirampas bukan sahaja suami, sudah tentu anda akan sedih dan memerlukan masa untuk pulih. Dan ingat hari ini kata mengambil hak orang, esok lusa kita akan diuji apabila hak kita pula diambil orang lain.’’ - keluarga





Tuesday, February 1, 2011

Perkara Yang Disukai Oleh Lelaki


1. Bentuk tubuh yang menarik. Susuk tubuh hebat sememangnya menjadi dambaan lelaki. Bagi wanita yang secara semulajadi mempunyai susuk tubuh persis model, peliharalah ia supaya kekal hingga bila-bila. Bagi mereka yang terlebih montok pula, lakukan sesuatu agar susuk tubuh kembali langsing. Lelaki suka golongan wanita yang berusaha untuk tampil cantik di hadapan mereka.
2. Selain bentuk tubuh, aset lain yang mampu menggegarkan hati lelaki ialah mata, punggung dan langkah yang kemas. Jangan pelik jika ada lelaki yang jatuh cinta kepada anda hanya kerana anda mempunyai jari yang runcing dan kuku yang bersih. Ini kerana selera setiap individu itu berbeza di antara satu sama lain

3. Sentiasa tersenyum apabila berbicara. Cuma jangan keterlaluan kerana nanti si dia fikir anda ‘tidak sihat’ pula. Bagi mereka yang mempunyai pendidikan yang lebih tinggi daripada teman lelaki atau suami, jangan pula menunjuk-nunjuk kerana lelaki sangat gemarkan wanita yang merendah diri dan tahu menghormati orang lain.
4. Lemah lembut. Sifat ini cukup untuk mencairkan hati lelaki. Tapi awas, lelaki tidak suka wanita yang mengada-ngada atau menunjukkan sikap manja yang berlebihan.
5. Jujurlah dengan teman lelaki atau suami anda. Si dia pasti akan menghargai anda kerana lelaki sangat suka dengan wanita yang jujur atau tidak menipu.
6. Penampilan yang sederhana. Jangan keterlaluan apabila bersolek kerana kebanyakan lelaki sukakan wanita yang mempunyai kecantikan semulajadi. Paling penting, anda perlu tahu bahawa kecantikan itu sangat subjektif. Lakukan apa yang dia suka dan elakkan perkara yang tidak digemarinya.
7. Jangan perasan walaupun anda sememangnya mempunyai paras wajah yang cantik. Kalau ada orang lain yang memuji anda cantik, cukup dengan sekadar tersenyum. Si dia pasti bangga dengan sikapmu itu.
8. Bermanjalah dengan si dia apabila si dia memerlukan anda bersikap sedemikian. Selalunya apabila berada di dalam situasi yang romantik, lelaki juga suka bermanja atau dimanjakan. Ketika ini anda bolehlah menunjukkan kemahiran ‘manja’ yang anda miliki.
9. Bijak menyesuaikan diri di dalam apa jua situasi terutama apabila berada di hadapan khalayak ramai atau di majlis-majlis rasmi. Pasti si dia tersenyum bangga melihat personalitimu itu.
10. Jangan bercakap perkara yang remeh-temeh kepada si dia. Cakaplah perkara yang penting sahaja kerana perkara remeh-temeh yang anda sampaikan itu hanya akan membuatkan si dia bosan dengan sikapmu. Lebih membuatkan si dia menyampah jika anda suka bercerita tentang perkara yang melibatkan orang lain atau lebih tepat suka mengumpat.
11. Matang apabila bersama dengannya. Lelaki tidak gemar dengan wanita yang terlalu keanak-anakan. Apatah lagi kalau anda sememangnya sudah berusia.
12. Jangan sekali-kali membandingkan si dia dengan rakan lelaki yang lain. Perkara itu hanya akan membuatkannya marah atau lebih teruk, si dia tidak akan berasa selesa bila bersama dengan anda lagi.
13. Jadilah peneman si dia sama ada di waktu senang atau susah. Wanita sebegini selalunya akan menjadi sumber inspirasi atau kekuatannya apabila berhadapan dengan sesuatu masalah.
14. Jadilah pendengar yang setia. Jangan sekali-kali memotong percakapannya apabila si dia sedang bercakap. Lelaki tidak suka wanita yang terlalu banyak bercakap tetapi tidak tahu mendengar apabila orang lain berbicara.
15. Pandai membelai. Walaupun lelaki sinonim dengan sifat kasar, namun pada waktu tertentu mereka sangat suka apabila dibelai oleh insan yang paling dicintai.
16. Jangan terlalu suka meminta-minta, merengek atau mendesak-desak kepada lelaki. Lelaki tidak gemar wanita terlalu berkuasa di dalam sesebuah perhubungan. Jika anda sangat memerlukan sesuatu perkara, mintalah secara baik kerana lelaki selalunya mudah untuk bertolak-ansur dalam pelbagai perkara.
17. Sentiasa menunjukkan sikap prihatin terhadap teman lelaki atau suami. Apa salahnya sesekali anda menghubunginya untuk mengucapkan selamat pagi atau selamat makan tengahari kepadanya. Walaupun nampak kecil, tetapi apa yang anda lakukan memberikan impak yang cukup besar terhadap teman lelaki atau suami anda.
18. Belajar berdikari dan jangan terlalu bergantung harap pada si dia. Selalunya lelaki tidak suka melakukan perkara yang remeh kerana banyak lagi perkara lain yang lebih penting perlu mereka fikirkan. Apa salahnya anda pergi ke pasar atau membayar bil seorang diri.
19. Tunjukkan kepadanya bahawa anda mempunyai prinsip hidup yang jelas. Jangan sekali-kali membiarkan lelaki mempermainkan anda. Lelaki selalunya lebih menghormati golongan wanita yang sebegini.
20. Berterus-teranglah dengan teman lelaki atau suami anda. Jangan sekali-kali menyorokkan kebenaran daripada mereka walaupun sesetengah kebenaran itu sememangnya pahit untuk ditelan.
21. Berikan sedikit kebebasan kepada si dia. Adakalanya lelaki juga mahu menghabiskan masa mereka bersama teman-teman mereka yang lain. Kalau anda boleh melakukannya, pasti si dia tidak teragak-agak untuk terus bersama anda.
22. Belajar menghormatinya. Selain dirinya, anda juga perlu bijak menjaga hati ahli keluarga serta teman-teman rapatnya. Jika ahli keluarga serta teman-temannya menyukai anda, itu merupakan satu petanda bahawa perhubungan anda akan berkekalan sampai bila-bila.
23. Jangan tunjukkan diri anda seperti seorang individu yang terlalu sempurna. Anda perlu terima hakikat bahawa di dalam dunia ini tiada seorang pun yang sempurna. Lelaki juga selalunya suka kepada wanita yang berani mengakui kelemahan dan kesilapan diri. Itu menunjukkan wanita tersebut sangat realistik dengan apa sahaja yang dilakukannya.
24. Belajarlah memasak. Apa gunanya anda menjadi seorang wanita sekiranya anda tidak pandai memasak. Tidak perlu memasak masakan yang terlalu rumit, cukuplah jika si dia mampu menelan masakan anda. Apa yang penting anda menunjukkan minat untuk belajar memasak masakan kegemarannya. Pasti si dia berbangga dengan usaha anda itu.
25. Berpendidikan. Anda tidak semestinya perlu mempunyai segulung ijazah daripada mana-mana universiti. Tetapi tonjolkan sikap individu yang mempunyai etika serta sikap yang menyenangkan apabila anda bersama si dia. paling penting sentiasa bertindak rasional dan berfikiran positif apabila anda mengalami sebarang masalah..


Sunday, January 30, 2011

Lagi Senaman Untuk Laki & Perempuan

Senaman ini dapat membantu memantapkan otot yang menjadi benteng anggota sulit lelaki dan perempuan seperti senaman Kegel atau senaman kemutan.


Senaman kemutan membabitkan gerakan mencengkam otot pembukaan lubang najis dan lubang kencing atau mencengkam otot lantai pelvis, seolah-olah mahu menahan kencing atau tahan membuang air besar dan ia dilakukan secara serentak.

Senaman ini jarang dilakukan secara sengaja dan jika dilakukan, biasanya dalam keadaan tertentu seperti menahan kencing apabila tandas penuh.

Jadi jika senaman kemutan ini dilakukan oleh mana-mana individu, baik lelaki atau perempuan, perasaan kurang selesa akan berlaku.

Lelaki akan terasa lubang najis tersempal dan jika buang air besar rasa sembelit. Jika ada buasir, akan jadi ketara dan menyakitkan!

Untuk wanita pula jika senaman kemutan itu dilakukan, dia akan rasa terangsang, lebih lagi jika kedua-dua paha itu dirapatkan. Jika paha direnggangkan sedikit mungkin perasaan terangsang itu kurang.

Cara melakukan senaman kemut ini untuk lelaki ialah seperti berikut, rapatkan kedua-dua paha dan mencengkam lubang najis dan lubang kencing sekali gus dengan padat dan tahan nafas seketika antara tiga hingga lima saat, legakan kemutan dan ulangi sehingga 10 kali.

Lakukannya lima kali sehari dan setiap kali cengkam 10 kali. Ketika melakukan senaman kemut, lelaki itu perlu dalam keadaan selesa iaitu sudah buang air besar dan kecil, baru lakukannya.
Amalan mengemut ini mempunyai khasiatnya tersendiri. Bagi lelaki, kemutan dapat membina otot benteng pangkal zakar yang mana jika zakar erek, mengemut dapat memadatkan pangkal zakar dan menolak serta memerah darah hala ke depan dan menjadikan penghujung zakar lebih padat dan kembang, seolah-olah zakar kelihatan besar bahagian depan!

Untuk wanita, amalan kemutan dapat melangsingkan corong faraj yang lega dan menyempitkan pembukaan faraj yang renggang itu. Dengan corong faraj yang sempit dan kemas, angin tidak mudah masuk ketika wanita bergerak dan hubungan kelamin tidak akan berbunyi seperti angin keluar-masuk!

Amalan mengemut dapat membantu melangsingkan otot kemutan dan membantu mengintimkan hubungan silaturrahim dengan pasangan. Hubungan seksual menjadi lebih seronok dan lebih memberangsangkan.

Senaman kemutan tidak akan dapat membina zakar menjadi panjang atau besar seperti mana yang dipaparkan oleh maklumat dalam internet yang menjual kaedah membesarkan zakar dengan cara senaman kemutan yang kononnya amalan orang Arab.

Bagaimanapun, senaman kemut dapat memberi tenaga dan kekuatan kepada ereksi dan ketika zakar yang erek itu dikemutkan ketika melakukan penetrasi faraj, maka mudah untuk menyalurkan ereksi dalam faraj dan mudah untuk bergerak lancar jika gerakkan zakar dilakukan dalam keadaan kemut.

Malahan mengemut ketika erek dapat mengekalkan ereksi dan dapat bergerak dan mengubah posisi dan merendahkan kemungkinan darah tercicir keluar daripada otot zakar.

Jika gerakkan zakar dilakukan dalam faraj dengan lelaki itu mengemut, pasangan akan dapat rasa nikmat yang lebih dan mudah mencapai klimaks.

Gerakkan zakar dapat dikawal apabila gerakkan zakar dilakukan dalam keadaan berkemut. Jadi amalan kemut dan melakukan senaman kemut dapat menjaga kekuatan ereksi.


Susu Badan Elak Ekzema

Kulit berfungsi melindungi organ-organ dalaman badan manusia. Ia juga merupakan organ paling besar. Walaupun ia berfungsi melindungi tubuh daripada kecederaan, tetapi kulit sangat sensitif. 

Tahap sensitivitinya berbeza serta bergantung kepada ketebalan epidermis (bahagian luar kulit luar). Justeru, sebagai organ terbesar yang meliputi bahagian luar tubuh, tidak hairanlah pelbagai masalah timbul pada kulit.

Antara masalah yang sering terjadi ialah penyakit kulit dan ada pelbagai jenis penyakit yang menyerang kulit baik kanak-kanak mahupun orang dewasa. Salah satu penyakit kulit yang sering dihadapi ialah ekzema.

Penyakit ini lazimnya akan 'menyerang' kanak-kanak. Hampir setiap satu dalam lima kanak- kanak akan menghadapi penyakit tersebut iaitu lebih kurang 15 hingga 20 peratus kanak-kanak di seluruh dunia.

Ekzema menyebabkan kegatalan dan penghidapnya terpaksa menanggung kesakitan selain mengalami tekanan perasaan.

Untuk pengetahuan umum, ekzema merupakan sejenis penyakit kulit yang melibatkan gangguan kepada lapisan pelindung kulit dan menyebabkan reaksi hipersensitif kulit yang menyebabkan radang, gatal-gatal yang melampau (intense itch) dan kulit bersisik.

Menurut Pakar Kanak-Kanak, Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr. Nor Mahani Harun, ekzema yang juga dikenali sebagai dermatitis atopik (AD) merupakan penyakit kulit kronik yang disebabkan keradangan kulit yang berpanjangan.

Ia akan menjadi bertambah buruk dalam tempoh beberapa tahun ataupun sepanjang hayat penghidapnya jika tidak dijaga dan dirawat dengan baik.

Jelasnya, dengan penjagaan kulit yang baik, penghidap penyakit ini boleh mendapat kulit yang sihat.

Ekzema mengakibatkan kulit kekeringan disebabkan kehilangan air dan senang kemasukanallergen yang menyebabkan ketidakselesaan pada kulit.

''Lazimnya ekzema berlaku pada kanak-kanak seawal dua hingga tiga bulan pertama dan lazimnya sebelum kanak-kanak meningkat ke umur lima tahun.
''Terdapat tiga fasa umur yang mengalami ekzema iaitu kosong hingga dua tahun, dua hingga 12 tahun dan dewasa.

''Terdapat sedikit perbezaan dari segi agihan pada kulit mengikut peringkat umur. Bagi bayi, lazimnya penyakit ini akan dikesan pada bahagian muka dan kulit kepala. Manakala untuk golongan remaja atau dewasa, kawasan yang terlibat seperti pelipat di bahagian siku, belakang lutut, buku lali, pergelangan tangan, muka, leher dan atas dada,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya lagi, dalam kebanyakan kes, mereka yang menghidap ekzema adalah disebabkan keturunan dan penghidapnya mungkin terdiri daripada bayi dan juga orang dewasa.

Tetapi bagi bayi, kebanyakannya akan beransur hilang apabila mencapai umur dua tahun iaitu lebih kurang 50 peratus tetapi ada juga yang kekal dan datang berkala.

Tambah beliau lagi, penyakit itu akan menyebabkan kulit kemerah-merahan, berair dan gatal.

Bagaimanapun, ia dikategorikan sebagai bukan penyakit berjangkit dan tidak boleh berpindah daripada seorang bayi ke bayi lain. Tetapi penyakit ekzema boleh berulang disebabkan jangkitan kuman, tekanan, perubahan cuaca, alahan kepada habuk dan sebagainya Ulas Dr. Nor Mahani, masalah itu dialami oleh antara tujuh hingga 17 peratus daripada kanak-kanak seluruh dunia dan lebih 50 peratus kanak-kanak yang mengalami ekzema kebiasaannya turut mempunyai kombinasi penyakit asma dan alahan.

Katanya lagi, sebanyak 17 peratus pesakit ekzema diwarisi dari ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali.

Untuk menghindarkan penyakit berulang, pesakit juga dinasihatkan supaya tidak menggunakan sabun biasa, sebaliknya menggunakan sabun pembersih badan atau pencuci bebas sabun yang mengandungi bahan pelembab bagi melembabkan dan mengelakkan kulit kering.

''Pembersih badan mestilah tidak mengalami bahan yang boleh menyebabkan kulit tidak selesa, memudaratkan, merosakkan atau menjejas lapisan pelindung kulit.

''Ini kerana sabun biasa akan mengakibatkan kulit menjadi lebih kering, bertambah gatal dan merosakkan lapisan pelindung kulit.

''Pesakit juga disarankan sentiasa memakai pelembab untuk mengurangkan risiko kulit kering dan menghentikan kehilangan lembapan yang boleh menyebabkan kulit menjadi gatal dan bersisik,'' katanya.

Tambahnya, lembapan yang baik mestilah tanpa haruman tetapi kaya emolien dan ia akan menyebatikan air dalam kulit sementara bertindak sebagai lapisan pelindung ketika proses penyembuhan.

Dengan ini ia dapat menghindar daripada jangkitan kuman seperti staphyloccus Aureus, herpes simplex dan ketuat.

Menurut Dr. Nor Mahani, dalam merawat masalah ekzema, mengelakkan kulit daripada kekeringan dan mengurangkan risiko jangkitan kuman ia merupakan perkara yang paling utama.

Ia juga untuk memastikan pesakit merasa aman, tidak gatal, kulit yang cantik dan juga mengajar pesakit untuk merawati diri supaya dapat mengurangkan masalah-masalah tersebut.

Dalam hal ini, pesakit dan orang yang menjaganya perlu diajar mengenai faktor-faktor yang boleh menyebabkan penyakit ini berulang, penyebab dan tanda-tanda di peringkat awal.

Untuk itu, salah satu cara untuk mengurangkan risiko penyakit ini ialah dengan memberi sepenuhnya susu badan sehingga bayi anda sekurang-kurangnya berusia enam bulan.

Bagi mereka yang memberikan susu formula dicadangkan agar memberi susu yang mempunyai protin hidrolis dan memulakan makanan tambahan pada umur lebih daripada enam bulan.

Oleh kerana penyakit ini kronik, rundingan dan nasihat daripada seorang doktor pakar amat mustahak supaya pesakit dan ibu bapanya betul-betul faham mengenai penyakit ini.

Bawalah berjumpa doktor pakar sekiranya anak anda atau anda sendiri mempunyai ciri-ciri menghidap penyakit kulit sekurang-kurangnya sekali bagi memastikan rawatan yang betul.


sumber : keluarga

Bermadu Perlu Bijak & Matang

TERINGAT pesanan ibu, kalau rasa diri tidak 'bijak dan matang' maka jangan sesekali cuba untuk hidup bermadu.

'Bijak dan matang' yang dikaitkan dengan bermadu itu membawa maksud cukup mendalam kerana bukan calang-calang wanita berjaya yang boleh menatang pesanan ini dengan sempurna.

Sekali gus pesanan ini sebenarnya amaran untuk mana-mana wanita muda, janda atau balu supaya tidak mudah terpana dengan rayuan cinta suami orang sehingga terjebak ke alam hidup bermadu.

Jika telah ditakdirkan masih juga gagal untuk menghalang jodoh yang terlalu kuat untuk bermadu maka persiapkan diri dengan sebaik mungkin.

Ini kerana sudah menjadi lumrah di dalam poligami, bukan sahaja antara isteri berlumba-lumba untuk menambat hati suami malah akan berdepan dengan tekanan berganda.

Kehidupan bermadu di zaman ini juga semakin kronik berbanding zaman dahulu memandangkan rata-rata wanita sebenarnya tidak bersedia.

Apatah lagi apabila 'bertemankan' suami yang dari perkahwinan pertamanya juga masih belum sempurna tetapi dengan tanpa rasa bersalah mahu membina perkahwinan yang seterusnya.

Dunia yang pada mulanya disangka indah akhirnya mula dipenuhi dengan cabaran yang mula membuatkan kehidupan semakin menjadi haru-biru.

Ada yang melakukan pelbagai usaha termasuk sanggup mendapatkan bantuan bomoh sehingga terjebak dengan perbuatan syirik.

Bagi yang tidak sabar pula, sanggup bertindak di luar batas kemanusiaan termasuk mencederakan madu dan anak-anaknya tanpa ada perasaan belas kasihan.

Ini termasuk kes terbaru yang mana hanya kerana perselisihan faham, seorang suri rumah sanggup menetak madunya dengan parang sehingga cedera di rumah mereka di Kampung Baru Sungai Korok, Kubang Pasu, Kedah pada 7 Januari lalu.

Dalam pergaduhan kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Siti Aminah Hanafi, 50, yang juga isteri pertama, cedera di dahi, pipi dan tangan setelah ditetak madunya berusia 26 tahun.

Anak mangsa, Nurul Shuhada Saad, 16, turut cedera di kaki akibat terkena libasan parang itu ketika cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.

Peristiwa seperti ini sepatutnya membuka mata masyarakat Islam di negara ini supaya tidak memandang remeh isu ini walaupun hidup bermadu itu dihalalkan.

Suami sebagai ketua keluarga sepatutnya menjalankan amanah menguruskan kesemua ahli keluarganya dengan sempurna dan jangan sampai mengakibatkan berlakunya pertumpahan darah.

Islam sudah meletakkan panduan bermadu dengan cukup sempurna tetapi sayangnya bukan sahaja suami bersikap 'lepas tangan' sebagai ketua keluarga tetapi gagal mendidik isteri.

Pensyarah Kaunseling dan Naib Setiausaha Persatuan Kaunseling Malaysia (Perkama), Prof. Madya Datin Dr. Sapora Sipon berkata, hidup di alam poligami bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia menuntut kepada pengorbanan suami, isteri dan madu.

''Bukan itu sahaja, ia akan memberi kesan kepada struktur keluarga seperti anak, ibu bapa, mertua dan yang berkaitan,'' katanya.

Maka apabila aspek seperti emosi, kewangan, penjagaan anak, ahli keluarga dan kesihatan diri tidak dapat dikawal dengan baik, ia boleh mewujudkan konflik dan apabila tidak ditangani dengan baik akan menyebabkan pergaduhan.

Hidup dalam tekanan memang sesuatu yang biasa bagi seorang isteri, apatah lagi bagi seorang madu. Ini kerana dalam bermadu lebih banyak hati yang perlu dijaga, termasuk hati sendiri.

Perjalanan hidup keluarga wanita bermadu juga lebih kompleks. Tekanan juga tidak sama bagi setiap wanita.

Sama ada bekerja atau seorang suri rumah, wanita bermadu mempunyai masalah tersendiri. Ada wanita yang lebih kuat dari wanita lain kerana setiap orang mempunyai personaliti yang berbeza.

Masalah timbul apabila emosi tidak dapat dikawal kerana tekanan yang tinggi. Kebiasaannya, tekanan yang dihadapi oleh wanita bermadu memang lebih. Apa yang lebih penting ialah mencari jalan untuk mengurus tekanan.

Sehubungan itu, kata Sapora, langkah yang perlu diambil oleh wanita yang hidup bermadu khususnya bagi menyesuaikan suasana kehidupan setelah sebahagian kebahagiannya selama ini dirampas oleh wanita lain.

"Ini bukan sesuatu yang mudah kerana ia bukan sahaja melibatkan soal hati, tetapi perkara-perkara lain seperti kewangan dan hak," jelasnya.

Antara langkah yang boleh diambil ialah menerima takdir dan menganggap bahawa ia sebahagian daripada kehidupan yang perlu dilalui. Perbaiki kerosakan yang dideritai hati akibat takdir ini.

''Fokuskan kerja-kerja memperbaiki kelemahan diri dan memahami suara hati antara sesama isteri,'' katanya.

Pegangan agama mesti menjadi kekuatan antara mereka. Peranan suami sebagai pemimpin diharapkan boleh menyelesaikan kemelut dan konflik dengan terapi al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Jika mana-mana ahli tidak dapat menyesuaikan diri dalam hidup bermadu, keadaan menjadi sukar.

Tujuan perkahwinan di antara seorang mukmin dan mukminah adalah untuk menguatkan iman, memudahkan kerja-kerja ibadah kepada Allah SWT dan menyucikan keperibadian, di samping menurunkan zuriat yang soleh.

Apabila suami turut mempunyai iman yang lemah, isteri mesti memiliki kemampuan sendiri untuk menciptakan suasana harmoni, meletakkan segala-galanya atas kuasa Allah SWT dan berusaha berdiri di atas kaki sendiri.


sumber : keluarga

Belajar Bukan Berkahwin

Renungkanlah...

Pertama, saya ingin menyingkap sebuah kisah untuk renungan bersama. Sepasang remaja berumur 15 tahun memohon kepada Mahkamah Syariah untuk berkahwin. Hakim Syari’e semasa mendengar kes tersebut bertanya beberapa soalan untuk memastikan pasangan tersebut sudah bersedia untuk berkahwin. Hakim Syari’e bertanya sekiranya diberi kebenaran untuk berkahwin diberi, kemanakah pasangan itu akan tinggal? Ali, pasangan lelaki tersebut menjawab bahawa mereka telah memikirkan perkara tersebut dan telah membuat keputusan untuk tinggal di rumah Laila, pasangannya kerana bilik tidur Laila lebih besar dari bilik tidur Ali. Hakim Syari’e tersenyum dan kagum bahawa perkara tersebut telah dibincangkan terlebih dahulu. 

Beliau kemudiannya bertanya satu lagi soalan. “Sekiranya dibenarkan berkahwin, bagaimana kamu akan menanggung Laila kerana kamu masih bersekolah?”. Ali menjawab, “Yang Arif, kami mempunyai tabungan dan sekiranya tabungan tersebut disatukan dan kami berbelanja hanya RM10 sehari dan membawa bekal ke sekolah, kami akan dapatmenampung penghidupan kami setelah berkahwin sehingga selesai peperiksaan PMR.

” Sekali lagi hakim tersebut tersenyum dan merasa kagum dengan kesungguhan cinta kedua remaja tersebut. Hakim itu terus bertanya, “Oleh kerana kedua-dua kamu akan mengambil peperiksaan PMR pada hujung tahun ini, bagaimana kamu hendak pastikan yang Laila tidak hamil ketika tempoh tersebut?” Kali ini Ali pula yang tersenyum dan menyatakan, “Yang Arif jangan khuatir, kami telahpun melakukannya dan nasib kami baik kerana Laila tidak hamil langsung! Hakim menarik muka masam dan dan tentu sahaja tidak kagum dengan jawapan tersebut.

Keduanya, saya ingin melihat isu ini dari perspektif undang-undang. Ini kerana ketika undang-undang dirangka dan digubal, ia berupa peraturan yang lebih berbentuk umum kerana terpakai kepada masyarakat umum. Di dalam pemikiran penggubal, biasanya berfikir bahawa undang-undang tersebut akan terpakai kepada orang dewasa yang berumur lebih 21 tahun. Ketika menafsirkan undang-undang itu pula, hakim biasanya mentafsir dalam konteks fakta kes yang ada di hadapannya yang tentu sahaja berbeza dari satu kes ke satu kes yang lain. 

Oleh kerana itulah, dalam dunia undang-undang, menggubal dan mentafsir undang-undang adalah dua perkara yang sangat berbeza walaupun saling berkaitan. Seperti langit dengan bumi. Seperti malam dengan siang. Oleh kerana perbezaan itulah isu ini sebenarnya menjadi jauh lebih rumit daripada apa yang disangkakan.

Dalam konteks penggubalan undang -undang, penggubal mengakui bahawa dunia ini sebenarnya penuh dengan orang yang bertindak di luar kebiasaan. Dan inilah sebenarnya yang menguji kekuatan dan keutuhan sesuatu undang-undang itu.

Undang-undang yang berkaitan adalah seksyen 8, Akta Undang-undang Keluarga Islam, Wilayah-Wilayah Persekutuan, 1984 dan enakmen-enakmen seumpamanya di peringkat negeri yang memperuntukkan umur minimum untuk berkahwin. Akta ini menyatakan bahawa tiada perkahwinan boleh diakadnikahkan atau didaftarkan jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika Hakim Syariah telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu. Dalam hal ini, hakim diberi kuasa menggunakan budibicaranya untuk meneliti fakta kes dan melihat sama ada kebenaran boleh diberikan.

Dalam konteks ini, kes Siti Mariam Mahmod, 14 yang berkahwin dengan Abdul Manan Othman, 23 tahun pada Julai, 2010 sebenarnya bukan kes pertama melibatkan perkahwinan di bawah umur dan mungkin juga bukan kes yang terakhir sejak Akta ini wujud dan telah dilaksanakan sejak tahun 1987 lagi. Bagaimanapun, pada pandangan peribadi saya, kes ini adalah penting untuk diulas kerana ia mewakili kes-kes perkahwinan bawah umur yang dilaporkan banyak berlaku di Malaysia. Persoalan penting yang timbul bagi saya adalah adakah selepas kes ini akan ada pindaan terhadap undang-undang berkaitan? Atau adakah hakim syarie akan membuat tafsiran yang berlainan kerana akan ada polisi yang baru? Atau apa atau tidak ada apa-apa?

Timbul persoalan tentang kenapa ibu bapa Siti Mariam menggalak perkahwinan tersebut? Kenapa pihak-pihak tersebut tidak diperintah untuk melalui proses kaunseling sebelum mereka dibenarkan berkahwin seperti dalam kes-kes sebelum ini?

Bukan sahaja aktivis-aktivis wanita dalam negara yang menunjukkan keprihatinan mereka tetapi juga media-media barat. Kenapa? Tidakkah negara-negara lain juga mempunyai perkahwinan di bawah umur malah dalam jumlah yang tinggi? Kenapa Malaysia? Antara jawapan yang saya temui adalah kerana Malaysia adalah model negara Islam, maka ia tidak sepatutnya menggalakkan perkahwinan di bawah umur. Kerana Malaysia negara maju, perkahwinan di bawah umur dilihat sebagai satu amalan yang ketinggalan zaman. Kerana Malaysia negara maju, ia seharusnya menghormati komitmennya terhadap instrumen-instrumen antarabangsa yang telah diratifikasi olehnya.

Sensitif

Persoalan-persoalan yang dibangkitkan walaupun logik tetapi bagi sesetengah pihak adalah sangat sensitif. Pada pandangan peribadi saya, jawapan-jawapan terhadap soalan-soalan tersebut sebenarnya tidaklah mudah. Ia menyentuh banyak perkara - sosial, agama dan politik serta undang-undang.

Dari perspektif undang-undang, keputusan hakim syarie dalam hal ini dipertikaikan kerana dikatakan bertentangan dengan keputusan yang dibuat oleh Al-Azhar Al-Sharif, badan agama tertinggi di dunia ahli sunni. Panduan tentang hak kanak-kanak menyatakan secara khusus bahawa untuk perkahwinan Islam, seseorang itu harus mencapai umur baligh dan kematangan sehingga mereka boleh berkahwin. Pandangan ini juga boleh dipertikaikan kerana panduan ini tidak mengikat hakim syarie di Malaysia dan sifatnya hanyalah sebagai panduan sahaja.

Setelah diteliti kontroversi ini dari pelbagai sudut, sebenarnya ia bukan berdasar kepada perdebatan tentang umur baligh atau hak asasi, tetapi adalah berdasarkan sama ada Siti Mariam telah mencapai usia kematangan untuk berkahwin. Ini adalah satu faktor tambahan selain umur baligh. Di sinilah letaknya perbezaan pendapat-pendapat sedia ada.

Saya ingin merujuk kepada satu instrumen antarabangsa yang sangat relevan dalam perbincangan tentang umur perkahwinan ini di mana Malaysia menjadi salah satu negara yang menjadi signatorinya, iaitu Konvensyen Hak Kanak-Kanak. Konvensyen ini mendefinisikan kanak-kanak sebagai orang yang berusia kurang daripada 18 tahun. Faktor usia dikaitkan dengan pertanggungjawaban dari segi undang-undang. Dalam konteks konvensyen ini, Siti Mariam masih dikira sebagai kanak-kanak. Oleh itu keputusan dan persetujuannya tidak terpakai dari segi undang-undang.

Dibandingkan dengan undang-undang Syariah, seorang kanak-kanak tidak mempunyai kapasiti undang-undang kecuali apabila ia telah mencapai usia baligh. Hal ini didasarkan kepada keupayaan ‘akal yang tidak semestinya 18 tahun. Kanak-kanak mula memperolehi kapasiti pertanggungjawapan ketika dia mencapai usia baligh yang berbeza mengikut pandangan pelbagai mazhab tetapi "kematangan fikiran" (rusyd) dalam konteks transaksi tertentu membolehkan kanak-kanak itu mempunyai kapasiti pertanggungjawaban yang berbeza.

Berbeza dengan prinsip-prinsip am yang digunakan oleh undang-undang Sivil yang terpakai dalam semua instrumen antarabangsa, undang-undang Islam mempunyai tahap-tahap kapasiti pertanggungjawaban undang-undang yang tertentu mengikut kematangan.

Dalam perbincangan berapakah umur baligh, Profesor Tahir Mahmood menyatakan bahawa usia terendah baligh untuk anak perempuan iaitu sembilan tahun adalah berdasarkan amalan dan budaya masyarakat Arab pada kurun ke tujuh Masehi. Budaya ini sebenarnya bukan dimulakan oleh Islam. Bagaimanapun, budaya ini telah diterima Imam Abu Hanifah 100 tahun kemudian. Namun, pengikut Abu Hanifah, iaitu Ibnu Shubruma dan Abu Bakar al-Asam dalam tafsiran mereka yang berlandaskan al Quran menolak perkahwinan di bawah umur ini. Terdapat beberapa pendapat ulama juga yang menyatakan bahawa Aisyah pada waktu perkahwinan tersebut sebenarnya berumur 18 tahun dan bukannya enam atau sembilan tahun.

Islam

Bagaimanapun, kedua-dua pandangan yang bertentangan ini telah diterimapakai di serata dunia Islam. Pada abad ke-20 pandangan kedua ini telah mendapat tempat di mana selaras dengan usaha mengkanunkan undang-undang Islam dilaksanakan oleh banyak negara Islam, umur minimum perkahwinan telah ditetapkan. Undang-undang pertama untuk ini telah terpakai di Mesir sejak 1923 lagi. Banyak negara Islam kemudiannya mengikuti jejak langkah tersebut.

Namun, apa yang di kertas dan apa yang berlaku secara realiti adalah dua perkara yang berbeza. Walaupun terdapat undang-undang yang menentukan had umur perkahwinan, amalan itu tidak sepenuhnya ditinggalkan. Ini kerana ia telah menjadi budaya masyarakat tersebut. Untuk menukar sesuatu budaya itu adalah sukar. Kita maklum bahawa berkahwin di bawah umur bukanlah budaya di Malaysia. Kita patut menggalakkan anak kita di usia tersebut belajar dan bukannya untuk berkahwin.

sumber : rencana