ALAHAN ketika hamil seperti loya dan muntah sering berlaku kepada wanita hamil, terutama dalam tempoh tiga bulan mengandung. Kira-kira 70 peratus ibu hamil mengalami masalah ini.
Apabila alahan menjadi terlalu teruk sehingga menyebabkan permasalahan lain timbul seperti kekurangan air dalam badan (dehidrasi) dan menjejaskan paras atau kadar galian dalam badan (electrolytes imbalance) maka keadaan itu dikenali sebagai “hyperemesis gravidarum”.
Apabila masalah itu wujud, ibu akan dimasukkan ke wad untuk membetulkan kembali masalah kekurangan air dan mengimbangi semula galian di dalam tubuh.
Kadar masalah hyperemesis gravidarum ini ialah sebanyak satu hingga dua peratus. Faktor penyebab hyperemesis gravidarum ini tidak diketahui tetapi beberapa teori sudah pun dikemukakan seperti fungsi hormon estrogen dan human chorionic gonadotrophin (HCG).
Kadar kedua-dua hormon ini meningkat ketika hamil terutama pada kandungan yang sihat. Bagi kes kandungan kembar, lazimnya muntah-muntah menjadi lebih teruk kerana kadar hormon HCG menjadi lebih tinggi.
Begitu juga bagi kandungan anggur (molar pregnancy), kadar HCG meningkat melebihi paras biasa dan lazimnya menyebabkan ibu mempunyai masalah hyperemesis gravidarum.
Oleh itu, amat penting bagi ibu yang hamil pada peringkat awal dan bermasalah alahan teruk menjalani pemeriksaan ultra bunyi untuk mengenal pasti kandungan yang sihat dan bukan kembar ataupun kandungan anggur.
Teori lain mengaitkan permasalahan hormon tiroid seperti hormon perangsang tiroid (TSH). Oleh kerana HCG agak sama dengan TSH, ia akan merangsang pengeluaran hormon tiroid yang lain.
Ibu yang mempunyai masalah tiroid juga mengalami masalah hyperemesis gravidarum sehingga penyakit itu dirawat dengan ubat-ubatan. Teori paling lama mengenai hyperemesis gravidarum ini ialah teori psikologi.
Masalah psikologi ini hanya tertumpu kepada satu kumpulan kecil saja.
Pada keadaan biasa, muntah-muntah mula berlaku pada awal kehamilan sehingga 20 minggu kehamilan. Sebahagian besar ibu yang mengalami muntah-muntah akan mula reda selepas tiga bulan pertama kehamilan.
Hanya beberapa peratus saja ibu kurang bernasib baik apabila muntah itu berlanjutan sehingga melahirkan, sebagaimana dihadapi oleh anda.
Oleh kerana muntah terlalu kerap dan tiada cairan atau makanan yang boleh ditelan tanpa dikeluarkan kembali, ibu terbabit boleh mengalami masalah kekurangan air dan galian di dalam badan.
Kadangkala ibu-ibu mengalami penurunan berat badan apabila mereka mengalami masalah dan keadaan itu.
Pemeriksaan air kencing akan menunjukkan kekurangan air di dalam badan dan keadaan ini perlu dirawat untuk mencegah masalah lain yang lebih serius seperti terjejasnya fungsi hati, otak dan janin.
Rawatan boleh dibahagikan kepada beberapa cara berikut:
1. Rawatan sokongan cairan akan dimasukkan ke dalam badan ibu melalui saluran vena. Pengambilan makanan, cairan dan ubat-ubatan secara lazim perlu diberhentikan buat sementara waktu untuk merehatkan usus. Pengambilan secara lazim akan dimulakan kembali secara beransur-ansur sehinggalah ibu dapat mengambil ubat-ubatan, makanan dan cairan secara biasa.
Ibu dinasihatkan mengambil makanan dan cairan secara sedikit-sedikit tetapi kerap iaitu setiap satu jam. Sebagai contoh, sekeping biskut krim kraker mungkin mengambil masa selama empat jam untuk menghabiskannya, iaitu dengan memakan satu perempat saja. Begitu juga minuman. Ambil sedikit-sedikit.
2. Elakkan mengambil makanan berminyak dan memerlukan masa yang lama untuk penghadaman.
3. Rawatan ubat-ubatan yang khusus untuk merawat muntah-muntah. Ubat-ubatan ini selamat digunakan pada awal kehamilan dan ibu tidak perlu risau mengenai keselamatan janin mereka terutama dari aspek kecacatan.
4. Rawatan khusus kepada penyakit tiroid dalam usaha mengawal penyakit itu dan pada sama mencegah atau mengurangkan muntah-muntah.
5. Mengambil vitamin B6 (pyridoxine) terbukti dapat memberi manfaat kepada ibu yang mengalami masalah muntah-muntah pada awal kehamilan.
6. Rawatan sokongan daripada suami dan keluarga sangat diperlukan. Kadangkala ibu boleh mengalami loya dan muntah pada awal kehamilan apabila suami menghampirinya. Oleh itu, suami tidak sepatutnya berkecil hati kerana keadaan ini, sebaliknya memberi sokongan padu kepada isterinya. Keadaan ini bukanlah sengaja dibuat-buat oleh isteri tetapi bagi sesetengah wanita bau adalah salah satu faktor yang boleh menyebabkan mereka terasa loya dan muntah.
Kadangkala loya dan muntah-muntah pada awal kehamilan menunjukkan janin dikandung sihat dan mempunyai kesudahan yang baik (favarouble outcome) seperti kurangnya kadar keguguran.
Sehubungan itu, anda perlu bersedia untuk menghadapi masalah muntah-muntah dan loya jika hamil kembali.
Ada kemungkinan juga apa yang dilalui sebelum ini tidak dilalui pada kehamilan akan datang. Ada kalanya keadaan loya dan muntah-muntah ini semakin berkurangan apabila seseorang itu hamil berikutnya.
Bersabarlah menghadapi kesukaran yang dilalui dan bersedialah untuk mengalami sebarang perkara ketika hamil kerana di sebalik setiap kesukaran, pasti ada ganjaran.
Kesukaran itu sudah pun dikenal pasti sebagaimana diterangkan di dalam al-Quran daripada surah al-Ahqaaf ayat 15 yang bermaksud:
“Dan Kami berpesan kepada manusia supaya membuat kebaikan kepada kedua-dua ibu bapanya. Ibunya yang mengandungkannya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah. Tempoh hamil sampai selepas penyusuan ialah tiga puluh bulan sehingga apabila ia sampai pada peringkat dewasa dan meningkat usia empat puluh tahun ia pun berdoa: Wahai Tuhanku! Dorongkan aku supaya mensyukuri nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada kedua-dua ibu bapaku dan supaya aku mengerjakan amalan soleh yang Engkau redhakannya dan kurniakan kesolehan dalam zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku daripada golongan Muslimin.”
No comments:
Post a Comment