Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan apabila datang kepada mereka sesuatu keterangan, mereka berkata: “Kami tidak akan beriman sehingga Kami juga diberi (wahyu) sama seperti Yang telah diberikan kepada pesuruh-pesuruh Allah”. Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah Yang sepatutnya) ia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) Yang diberikan-Nya itu. orang-orang Yang melakukan perbuatan Yang salah itu akan ditimpa kehinaan di sisi Allah, dan azab seksa Yang amat berat, disebabkan perbuatan tipu daya Yang mereka lakukan. (al-An’am: 124)
Hercules (Raja Rom) ketika bertanya kepada Abu Sufyan mengenai sifat-sifat Rasulullah SAW dengan berkata: “Bagaimana keturunannya di hadapan kamu?” Jawab Abu Sufyan: “Dia adalah berketurunan baik (mulia) di kalangan kami”, lalu Hercules menjawab: “Begitulah kesemua para rasul yang diutus daripada keturunan yang mulia daripada kalangan kaumnya”. Iaitu Nabi diutus daripada kalangan keluarga yang termulia dan berketurunan yang ramai.
Baginda adalah penghulu anak Adam di dunia dan akhirat. Juga digelar Abu al-Qasim, Abu Ibrahim, Muhammad, Ahmad pemadam kekufuran dan kesyirikan. Tiada nabi selepas baginda, penghimpun yang tersimpan manusia menjemput kedua kalinya. Nabi yang rahmat, nabi yang taubat, penutup seluruh kenabian, dia al-Fatih (pembuka), Taha, Yasin dan Abdullah.
Baginda adalah lembut lagi mengasihani mengingatkan mengangkat baginda sebagai pembawa rahmat, pembawa nikmat kebahagiaan hidup dan petunjuk.
Baginda SAW dilahirkan dengan sejahtera pada hari Isnin. Ini berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim, daripada Abi Qatadah sesungguhnya seorang lelaki Badwi bertanya kepada Rasulullah SAW: Apa pandangan tuan puasa pada hari Isnin? Lalu baginda menjawab: “yang demikian (Isnin) adalah hari aku dilahirkan padanya dan hari turun wahyu kepadaku”.
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam karyanya dengan sanad daripada Jabir dan Ibnu Abbas, sesungguhnya baginda SAW telah dilahirkan pada tahun gajah hari Isnin, 12 Rabiulawal, padanya (12 Rabiulawal), aku diangkat ke langit (mikraj), dan padanya berlaku hijrah, dan padanya juga wafat. (Ibn Kathir, al-Sirah al-Nabawiyyah, dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut, cet:1, 2005, hlm: 35) Sementara itu, Sheikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri di dalam kitabnya, al-Rahiq al-Makhtum menjelaskan bahawa, tarikh kelahiran Nabi SAW iaitu 12 Rabiulawal adalah bersamaan dengan 20 atau 22 April tahun 571 Masihi.
Tarikh ini berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Muhammad Sulaiman al-Mansur Fauri yang merupakan tokoh sejarah. Tarikh ini diperakui oleh Mahmud Basha seorang tokoh dan sarjana dalam bidang falak. (Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, Dar al-Fikr, Beirut, cet:1, 1991, hlm: 45).
Jumhur ulama bersetuju tarikh kelahiran baginda Rasulullah SAW adalah 12 Rabiulawal 571 Masihi, tahun gajah. Dikenali dengan tahun gajah kerana pada tahun inilah Abrahah menyerang kota Mekah dengan tentera bergajah.
Sementara, tarikh kewafatan baginda seperti yang disebut oleh riwayat yang terdahulu iaitu pada 12 Rabiulawal, pada tahun 11 hijrah, ketika baginda berusia 63 tahun. (Lihat; Abu Hasan ‘Ali al-Husaini al-Nadawi, al-Sirah al-Nabawiyyah, dar ibn Kathir, Dimasyq, 2009, cet: 5, hlm:539).
Kebiasaannya serta fitrah manusia tidak ingin meraikan tahun kewafatan orang yang dikasihinya. Lebih-lebih lagi junjungan besar Nabi SAW yang telah banyak menabur bakti kepada umatnya.
Kewafatan baginda cukup menyedihkan bagi orang yang pernah mengenali baginda. Para sahabat r.a tidak sanggup dan tidak mampu berpisah dengan kekasih mereka Rasulullah SAW.
Baginda telah melayan mereka seperti seorang ayah, dengan penuh kasih sayang baginda menatang para sahabat. Mereka didakap dengan tulus ikhlas dan persaudaraan.
Mereka (para sahabat) dan juga kita tidak akan bertemu dengan insan yang begitu agung budi pekertinya, tidak pernah mengecewakan setiap yang meminta.
Baginda tidak pernah mengherdik yang lemah mahupun yang fakir, baginda tidak pernah tidak pernah menyakiti setiap yang mendampinginya.
Menerusi kitab al-Dalail al-Nubuwwah, dalam bab membicarakan kelahiran baginda, beberapa riwayat perlu dikongsikan di sini.
Antaranya: daripada Ibnu Abbas r.a berkata: “Tidaklah Allah azza wa jalla menjadi sesuatu apa pun dan tidak pula meninggalkan sesuatu nyawapun yang lebih mulia daripada Nabi SAW, dan aku (Ibnu Abbas) tidak pernah mendengar bahawa Allah SWT bersumpah dengan kehidupan seseorang melainkan dengan Nabi SAW, firman Allah SWT yang bermaksud: Demi umurmu (Wahai Muhammad), Sesungguhnya mereka membuta tuli Dalam kemabukan maksiat mereka. (al-Hijr: 72)
Umumnya Allah SWT tidak akan bersumpah dengan sesuatu apa pun melainkan ia sungguhhebat dalam sudut ciptaan dan kedudukan. Dalam ayat ini Allah SWT bersumpah dengan umur Nabi SAW.
Pengiktirafan
Inilah satu pengiktirafan dan pemasyhuran kedudukan baginda di sisi Allah SWT.
Dalam riwayat lain daripada Umm Kurz sesungguhnya telah berkata, dia (Umm Kurz) mendengar daripada nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Aku adalah penghulu bagi kaum mukminin apabila mereka dibangkitkan di mahsyar kelak, akulah yang akan memimpin mereka apabila dibangkitkan, dan akulah yang akan memberi berita gembira apa berkesedihan, akulah imam mereka apabila mereka sujud, dan akulah orang yang paling hampir kepada Allah apabila berhimpun di hadapan Allah, aku akan berbicara di hadapan Allah lantas akan diiakan kata-kataku dan aku memberi syafaat lalu diterima syafaatku dan aku meminta lalu ditunaikan permintaanku”. (Abi Naim al-Asfahani, Dalail al-Nubuwaah, Dar al-Nafais, 1999, cet:4, jld:1, hlm: 67)
Dalam suasana sambutan Maulid Rasul SAW minggu depan, ia harus dimanfaat dengan sebaik mungkin agar kelahiran baginda yang penuh makna dapat dihayati bersama.
Cinta kepada nabi SAW bermaksud cinta kepada Allah SWT. Kelahiran baginda telah mengubah dunia yang sarat dengan amalan jahiliah kepada nur (cahaya) yang memandu mereka menjadi manusia yang berakhlak.
Nabi SAW telah mengenalkan kita kepada Allah SWT, meninggalkan kepada kita mukjizat agung iaitu al-Quran, dan mengajar kita erti ibadah supaya sampai ke makam penghambaan yang hakiki menghampiri Rabbul Izzati.
Semoga Allah menghimpun kita bersama kekasih agung kita Muhammad SAW. - Agama
No comments:
Post a Comment