Search This Blog

Saturday, February 12, 2011

Banyak Dosa Bila Bermadu



LUAHAN hari Mimizarina dalam DCCK minggu lalu mendapat perhatian ramai pembaca khaususnya wanita. Banyak e-mel diterima, namun tak seorang pun sependapat dengan beliau. Jadi untuk menjawab soalan ‘‘Rugikah kalau dimadu’’ dipaparkan beberapa pandangan pembaca dari seluruh negara.

Imma dalam e-melnya bertanya kepada Mimi salah satu syarat suami berpoligami mestilah mampu zahir batin. Tapi Mimi cuma memerlukan nafkah batin dan kasih sayang sahaja, jelas suaminya tidak mampu dari segi ekonomi kerana dia ada isteri pertama tak berkerja, ada tiga orang anak. Secara tidak langsung Mimi galakkan suaminya tidak bertanggungjawab, jadi apa maknanya konsep poligami sebenarnya?

‘‘Seperkara lagi kerana Mimi terlalu bersimpati dengan kawan-kawannya yang berjawatan tinggi tetapi tak bersuami, maka saya cadangkan dia meminang tiga kawannya untuk suaminya. Salah seorang mestilah tidak bekerja, kemudian Mimi boleh menjawab soalannya; ‘‘Rugikah kalau dimadu’’ kata Imma lagi.

Julia pula meminta supaya Mimi jangan bongkak, sebab takut satu hari nanti dia juga akan dimadukan oleh suaminya. Sebab lelaki apabila mudah dapat dua dia mahu tiga. Tambah-tambah ada isteri yang meringankan bebannya.

Julia juga menasihatkan Mimi supaya betul-betul memahami apa yang tersurat dalam al-Quran yang berbunyi, ‘‘Kahwinilah kamu dua, tiga atau empat orang wanita, tetapi jika kamu takut tidak berlaku adil, maka kahwinlah hanya seorang....’’ Jangan buat petikan ayat al-Quraan ikut selera sendiri sahaja. Jangan mempersenda al-Quraan.

‘‘Saya juga nak tanya Mimi, sudikah anda menerima madu jika wanita itu janda beranak empat dan lebih tua, andaikata suaminya jatuh cinta pada wanita itu? Mimi cakap memang mudah, tetapi adakah anda benar-benar sanggup mempraktikkannya?

Nor pula berkata, isteri yang minta diceraikan daripada bermadu sebenarnya mahu mengelak daripada membuat lebih banyak dosa dengan suami. Sebab hanya dia sahaja yang tahu perangai suaminya. Dia tahu kelemahan dan tahap kemampuan suaminya dari segi kewangan dan batinnya, kerana itu daripada berdendam dan menyimpan perasaan marah sepanjang hayat terhadap suami lebih baik berpisah.

‘‘Maklum sahajalah kalau duit berkurangan suami mula sekat makan minum anak-anak isteri pertama, jika ini berlaku isteri tentu mengamuk, dan berlaku bertengkaran, pergaduhan antara suami isteri. Bukankah itu secara tidak langsung isteri akan tambah dosa. Sebab itu isteri lebih rela bercerai daripada kumpul dosa bila bermadu,’’ katanya lagi.

Anita pula berkata, dia banyak kali menyuruh suaminya kahwin lagi, sebab dia benci dengan perangai suaminya suka menggoda perempuan. Bila bercinta duit tak pernah cukup sebab kena beli top up telefon sendiri dan kekasih. Duit minyak bertambah kerana selalu keluar, belanja makan dan beli hadiah untuk kekasih. Bila dah banyak berbelanja untuk kekasih pasti menjejaskan bajet rumahtangga. Sampai bila saya mesti pikul hutang yang dia buat?

Menumpang

‘‘Kepada wanita yang ingin menumpang kasih suami orang, jangan tanya kenapa isteri tak rela bermadu, tengok dulu kemampuan kekasih anda, jangan percaya cakapnya bulat-bulat. Lagi banyak pendapatannya lebih banyak dia berhutang. Hanya isteri yang tahu. Orang lain cuma lihat pakaian cantik di luar saja, tetapi isteri tahu kurap kayap di kulit badannya di dalam.’’ Demikian cerita Anita.

Liyana pula kesal dengan pandangan Mimi wanita yang tidak rela bermadu sebagai ‘lemah pegangan agama dan kurang kesedaran’.
‘‘Tidakkah anda rasa bersalah membina istana di atas keruntuhan mahligai 
orang lain?’’

‘‘Saya dapat merasakan perasaan bekas isteri suami anda, kerana saya senasib dengannya. Suami saya merancang hendak kahwin lagi selepas kami menyambut ulang tahun kelima perkahwinan baru-baru ini. Kini setiap hari sebelum tidur saya terfikir bilakah agaknya saya akan diceraikan.’’ Kata Liyana.

Honey dalam e-melnya berkata dia tertarik bila Mimi bertanya ‘‘Kenapa ramai isteri jadi kedekut dan beranggapan suami hak mutlak mereka seorang sahaja? Tidak boleh dikongsi oleh wanita lain..? kerana beliau sekarang masih dalam edah setelah diceraikan oleh suaminya kerana bercinta dengan orang ketiga.

‘‘Saya tak larang kalau suami saya nak kahwin lagi, tetapi tolong jangan lari daripada tanggung jawab. Berbulan-bulan kami ditinggalkan tanpa nafkah, bila telefon tidak dijawab, anak sakit terlantar tidak dipedulikan, ansuran bulanan rumah tak dibayar, jadi patutkah saya bersabar lagi? Dan bukankah itu tandanya dia tak sayangkan kami lagi?

‘‘Kerana tidak tertahan berkali-kali dihalau keluar rumah dan dipukul, akhirnya saya terpaksa buat laporan polis demi mempertahankan diri dan hak saya ke atas rumah yang kami beli. Jadi kesimpulannya sebelum nikah lagi suami saya sudah abaikan tanggungjawab pada anak-anak, jadi bolehkah suami saya adil kalau berpoligami nanti?

‘‘Kerana itulah ramai wanita takut bermadu, bukan kerana tamak atau kedekut, tetapi kerana dia tahu perangai suaminya sebenar. Suami boleh buat muka sepuluh sen tunjuk baik dan minta simpati kekasihnya, tetapi dengan isteri dia jadi harimau ganas dan lapar menunggu masa untuk menerkam mangsanya.

‘‘Akhir kata, saya ingin berpesan pada Mimi jangan riak dan takbur. Saya pasti kiranya apa juga benda kesayangan Mimi dirampas bukan sahaja suami, sudah tentu anda akan sedih dan memerlukan masa untuk pulih. Dan ingat hari ini kata mengambil hak orang, esok lusa kita akan diuji apabila hak kita pula diambil orang lain.’’ - keluarga





No comments:

Post a Comment