IBN Jauzi berkata: “Sebahagian ulama berpendapat ayat yang sebelum ini telah dinasakhkan dengan pengecualian pada ayat ini, dan ini bukanlah dinamakan nasakh kerana pengecualian maksudnya mengeluarkan sebahagian dari semuanya yang membawa kepada takhsis.”
Sayid Qutub berkata: “Adapun orang-orang yang terus berdegil (di atas kesalahan mereka) dan tidak bertaubat sehingga peluang itu terlepas dari tangannya dan tempoh (yang diberikan Allah) telah berakhir, maka mereka akan menghadapi laknat yang diancamkan kepada mereka sebelum ini dengan huraian yang lebih terperinci dan tegas lagi.”
Benarlah firman Allah s.w.t: Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mati di dalam keadaan kafir, mereka ditimpa laknat Allah dan laknat para malaikat dan manusia seluruhnya.
Mereka kekal di dalam laknat itu dan azab itu tidak akan diringankan dan tidak pula diberi tempoh kelonggaran. (Al-Baqarah: 161-162)
Firman Allah s.w.t: Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mati di dalam keadaan kafir. Sesungguhnya disyaratkan mati dalam kufur kerana hukumnya mengikut bagaimana keadaan mati.
Abu al-`Aliyah berkata: “Ini pada hari kiamat di mana orang kafir didirikan kemudian Allah melaknatnya seterusnya manusia dan malaikat juga melaknatnya. Inilah yang dinukilkan oleh Imam al-Baghawi di dalam tafsirnya.”
Sebenarnya terlalu banyak perkara yang boleh membawa kepada keluarnya seseorang dari daerah keimanan kepada kufur. Disebut secara umum di sini antara sebab-sebab tersebut:
Ulama berpendapat perkara yang membatalkan akidah (aqidah) dan iman terbahagi kepada tiga:
1. Iktikad.
2. Perbuatan.
3. Perkataan.
Ulama menyebut dalam kitab masing-masing secara terperinci jenis-jenis perkara di atas yang boleh mengeluarkan daripada daerah keimanan sehingga membawa kekufuran. Secara ringkasnya seperti berikut:
1. Beriktikad adanya Tuhan yang lain selain Allah atau kuasa yang setara dengannya.
2. Beriktikad makhluk boleh memberi kuasa.
3. Percaya kepada kuasa-kuasa yang lain daripada Allah, seperti jin dan lain-lain.
4. Melakukan perbuatan ibadah seperti orang kafir, contohnya tunduk dan patuh kepada berhala dan memakai salib dan sebagainya.
5. Menghina al-Quran.
6. Menghina Rasulullah s.a.w dan sunnahnya termasuk melukis karikatur yang menjatuhkan martabat Nabi Muhammad.
7. Menganggap syariat tidak sesuai pada zaman sekarang.
8. Menganggap undang-undang Islam sudah lapuk, kejam dan zalim.
9. Merasa syak dan ragu atas kebenaran Islam.
10. Menafikan perkara yang menjadi maklum dalam agama atau perkara yang diketahui umum.
Seterusnya firman Allah s.w.t: Mereka ditimpa laknat Allah dan laknat para malaikat dan manusia seluruhnya. Ayat ini yang dimaksudkan dengan laknat tiga wajah. Pertama, mereka melaknatnya di hari akhirat. Kedua, dikehendaki dengan manusia di sini ialah di kalangan orang yang beriman seperti pendapat Ibn Mas’ud, Qatadah dan Muqatil. Ketiga, bahawa laknat daripada orang yang ramai.
Firman Allah s.w.t: Mereka kekal di dalam laknat itu dan azab itu tidak akan diringankan dan tidak pula diberi tempoh kelonggaran. Maksud kekal di dalamnya atau padanya ada dua pendapat. Pertama, kembali kepada laknat seperti pendapat Ibn Mas’ud dan Muqatil. Kedua, kembali kepada neraka.
Ayat ini tidak menyebut suatu azab yang lain dari laknat yang menyerkup mereka, malah ia menyifatkan laknat ini sebagai suatu azab yang tidak akan diringankan dari mereka dan tempoh azab itu tidak akan ditangguhkan.
Itulah azab yang mengecilkan segala azab yang lain. Itulah azab diusir, dibuang dan dilayan dengan kasar dan tiada hati yang menaruh belas kasihan, tiada mata yang memandang dengan simpati dan tiada lidah yang mengucap kata-kata hormat.
Mereka dikutuk, diusir dan dibuang oleh para hamba Allah dan oleh Tuhan sekalian hamba-Nya sama ada di bumi dan di alam al-Mala`ul-A’la. Inilah azab yang amat pedih dan amat menghinakan.
Firman Allah: Mereka kekal di dalam laknat itu dan azab itu tidak akan diringankan dan tidak pula diberi tempoh kelonggaran. Balasan itu disebabkan mereka telah menutup pintu yang terbuka itu kepada diri mereka sendiri dan membiarkan peluang itu terlepas dari tangannya dan tempoh (yang diberikan Allah) itu berakhir begitu sahaja, sedangkan mereka terus berdegil dengan sikap menyembunyikan kebenaran, memilih kekufuran dan kesesatan.
Iktibar dan pengajaran ayat:
1. Kebahagiaan yang hakiki ialah mati dalam husnu al-Khatimah apatah lagi diakhiri dengan kalimah tauhid.
2. Laknat yang datang daripada Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya menjadi dalil ia termasuk dalam dosa besar.
3. Beriman dengan hari balasan seperti adanya azab neraka adalah benar.
No comments:
Post a Comment